Beberapa bulan sahaja lagi kita akan memasuki tahun baharu. Tak lama lagi, mereka yang lahir tahun 1996 bakal bertukar nombor hadapan dari angka 2 ke 3! Dah bersiap sedia ke?
Memasuki usia 30-an selalunya dianggap sebagai satu fasa hidup yang lebih matang. Ramai antara kita mula rasa cemas bila angka itu berubah, terutamanya wanita! Tetapi sebenarnya, ia bukan sesuatu yang perlu ditakutkan.
Paling penting, kita buat persediaan awal. Artikel ini menyenaraikan tujuh perkara penting yang boleh dijadikan panduan sebelum melangkah ke alam 30-an supaya lebih bersedia dan dapat menjalani hidup dengan lebih tenang.
Sediakan Simpanan Kecemasan
Ini antara perkara paling asas dalam perancangan kewangan. Simpanan kecemasan bertujuan untuk melindungi diri daripada situasi tidak dijangka seperti kehilangan kerja, kerosakan kenderaan atau kecemasan kesihatan. Secara umum, jumlah ideal yang disarankan ialah antara tiga hingga enam bulan gaji bulanan.
Selesaikan Hutang Berkomitmen Tinggi
Jika anda masih mempunyai hutang seperti pinjaman PTPTN, kad kredit atau pinjaman peribadi yang berbunga tinggi, cuba rancang untuk selesaikannya secepat mungkin. Lagi awal anda bebas daripada beban hutang, lebih banyak ruang kewangan yang anda ada untuk fokus kepada perkara lain seperti pelaburan dan simpanan.
Mula Melabur, Walaupun Sedikit
Ramai orang fikir pelaburan hanya untuk mereka yang kaya. Silap tu! Yang penting ialah konsistensi dan masa. Lagi awal anda mula, lagi besar potensi pulangan melalui kuasa faedah kompaun.
Nak tahu lebih lanjut dan cuba berjinak-jinak dengan pelaburan? Boleh muat turun aplikasi MoneyX, daftar dan lihat pilihan pelaburan yang ada.
Dapatkan Kad Perubatan atau Pelan Takaful
Kesihatan adalah aset yang tidak ternilai. Dengan kos rawatan yang semakin meningkat, memiliki pelan perlindungan perubatan seperti kad perubatan atau takaful adalah satu keperluan. Lagi muda anda mula mencarum, lebih rendah kadar bayaran bulanan yang ditawarkan.
Cari Pendapatan Sampingan atau Mulakan Bisnes Kecil
Zaman sekarang, tidak mustahil untuk memiliki pendapatan dari beberapa sumber. Bagi yang ingin mencari pendapatan sampingan, banyak peluang yang boleh diterokai seperti kerja sambilan, perniagaan dalam talian, dropship atau menjual barangan terpakai.
Rancang untuk Miliki Aset
Membeli rumah mungkin bukan matlamat semua orang, tetapi memiliki sekurang-kurangnya satu bentuk aset adalah langkah penting dalam perancangan masa depan. Aset seperti tanah, emas atau unit amanah boleh memberi pulangan jangka panjang dan melindungi nilai wang daripada inflasi.
Jaga Kesihatan Mental dan Cari Hobi Sendiri
Usia 30-an sering dikaitkan dengan tekanan kerja, tanggungjawab keluarga dan keletihan mental. Jadi, penting untuk anda ada ruang 'me time'. Cari hobi yang boleh bantu anda lepaskan tekanan. Bila mental sihat, hidup pun lebih seimbang.
Melangkah ke usia 30-an bukan tanda 'dah tua', tetapi satu fasa di mana kita mula lebih memahami apa yang kita mahu dalam hidup. Ingat, perancangan hari ini menentukan ketenangan esok hari. Nak rancang kewangan, ingat MoneyX ok!

